CATATAN HARI INI: DEGIL DUA BERADIK

  Erma, Umie suka gaduh tapi serius dalam karier seni, sama-sama dorong jadi lebih berjaya
PUAS memujuk sutradara tersohor, Erma Fatima bergambar dalam sesi fotografi eksklusif. Maklumlah, sudah lama kakak kesayangan Datin Paduka Umie Aida ini tidak bergambar atau menjayakan sesi fotografi bagi promosi akhbar atau majalah.Mungkin Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad, 42, memilih gaya hidup ‘low profile’ dan mengelak publisiti tanpa sebab.

Barangkali Erma yang pernah melakar kejayaan besar pada Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) dengan membolot enam trofi termasuk Pengarah Terbaik melalui drama, ‘Tersasar di Jalanmu’ ini ada alasan tersendiri. Mungkin bagi dirinya, dunia glamor yang dikecapinya sejak bergelar pelakon pada 1986 sudah lama ditinggalkan.Berkali-kali diyakinkan, alhamdulillah, akhirnya Erma bersetuju bergambar untuk tatapan eksklusif pembaca sisipan Inspirasi-Berita Harian.

Sesi fotografi yang dirancang menjadi kenyataan pada 27 Oktober dan secara kebetulan, jatuh pada hari lahir ibu tersayang. Berganding dengan Umie, 38, peluang merakamkan aksi kakak dan adik ini jarang sekali diperoleh dan cukup bermakna.

Lucunya, Erma yang pada mulanya agak keberatan menjayakan sesi fotografi selepas puas dipujuk, akhir lebih ‘galak’ di depan kamera. Malah saat wajah Erma cantik disolek Khir Khalid serta dipuji krew di lokasi fotografi di kediaman Umie di Mont Kiara, Kuala Lumpur, lagak Erma di depan kamera makin menjadi-jadi.

Umie mencelah sambil menjeling ke arah Erma: “Tengok permainan orang itu yang kononnya segan hendak bergambar pada awalnya. Tetapi, akhirnya dia pula yang lebih semacam. Macam orang lepas geram.”

Memang gamat sesi fotografi itu dan bagai tidak sah, setiap kali dua beradik ini bersua, pasti berlaku ‘pertikaman lidah’. Masing-masing cuba mempertahankan ego dan pertelagahan bagai menjadi ‘makanan’ mereka. Begitulah gelagat Erma dan Umie yang sama-sama berjuang dalam seni tetapi memiliki karakter berbeza.

“Dia (Erma) perempuan yang gila kerja. Selalunya Umie akan membebel kepada dia kerana terlalu bekerja keras dan bukannya bekerja dengan bijak.


“Waktu tidur pun tidak menentu. Umie mahu dia seimbangkan kerja keras dan bijak pada satu masa. Ini kerana Umie mahu dia menjadi jutawan,” luah hati Umie yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 melalui filem Embun.

Tambah Umie yang tiga kali merangkul trofi Pelakon Drama Wanita Terbaik ASK termasuk ASK2011 melalui drama Airmata Nursalina, jauh di sudut hatinya terbit rasa bimbang terhadap Erma yang terlalu obses dengan kerjaya tanpa cukup rehat.

“Memang selalu Umie akan bising dengan dia. Pada tahap usia yang kian meningkat, dia kena dapat tidur yang cukup. Ini tidak, asyik bekerja dan tak boleh tidur hingga tertekan mulalah dia meroyan. Sekarang teknologi Twitter menjadi medium untuk dia meroyan itu dan ini jika tidak puas hati dengan kerja.

“Tapi dia degil. Puas Umie membebel supaya dia mendapat tidur yang cukup. Memadailah tidur enam jam. Umie jenis jaga waktu tidur dan kerap bersenam. Lucunya, kalau dia tak boleh tidur dengan Umie sekali dia ajak berjaga. Mulalah dia hantar mesej di Blackberry Messenger (BBM),” kata isteri kepada Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan ini.

Bagi Umie yang membabitkan diri dalam dunia seni sejak usia 20 tahun, dia tidak pernah sesekali menyesali langkahnya selama ini. Tanpa sebarang kelulusan rasmi dalam dunia lakonan, teman akrab kepada Erra Fazira dan Zahida Rafik ini menganggap pengalaman yang ditimba sebagai proses pembelajaran terbaik.

Seiring peningkatan usia dan melalui fasa demi fasa dalam bidang lakonan, ibu kepada Mohd Dzulhelmy dan Mohd Daniel Firdaus ini sering menjadi sasaran kritikan dan ancaman Erma. Tetapi semua itu bukan bertujuan mahu menjatuhkan dirinya sebaliknya pembakar semangat.

Erma dalam diam menurut Umie, seorang kakak yang tidak lepas daripada memantau perkembangan adiknya. Sekalipun kuat membebel termasuk menegur Umie dalam nada kasar di set penggambaran, Erma sebenarnya mahukan yang terbaik untuk adiknya. Erma sebenarnya penyokong terbesar dalam kerjaya seni Umie.

“Dia memang suka memandang rendah dekat Umie. Dia selalu ingat Umie jenis yang hangat-hangat tahi ayam. Contohnya, kalau Umie mahukan sesuatu dan dia mulalah fikir yang semua itu atas tiket untuk keseronokan Umie semata-mata. 

“Sebagai pelakon, kita kenalah jaga penampilan dengan memanjakan diri. Kalau badan macam sakai kelompang (sambil berjenaka merenung tubuh Erma), siapa hendak ambil berlakon. Jadi pelaburan perlu dibuat untuk nampak menarik selain bakat yang dipertaruhkan.

“Erma pula bukan jenis macam itu, jadi dia pantas menjatuhkan hukuman apa yang dilakukan Umie ini sebagai salah.
Mungkin juga sebab itu dia kini seperti dilahirkan sebagai pengarah saja kerana tak pandai menjaga fizikal dirinya.

“Sebagai pelakon, kita seperti produk yang mahu diyakinkan untuk diterima dan dipercayai masyarakat,” seloroh Umie yang menyertai Ziela Jalil dan Erra Fazira dalam projek teater Badai Semalam. Bukan sekadar berlakon, Umie bertindak sebagai penerbit di bawah syarikat Frensis Sdn Bhd dalam menzahirkan naskhah teater itu.

Umie yang sebelum ini pernah mencuba menerbitkan filem yang diarahkan Erma sendiri iaitu Diva Popular, mengakui jiwanya tidak sekental Erma. Jadi tidak hairanlah Umie tidak gemar menggalas tugas sebagai pengarah yang terlalu teknikal termasuk memikirkan hal lampu, artistik, kreatif, bajet dan sebagainya.

“Umie tahu di mana takat kemampuan diri. Umie memang tidak suka memeningkan kepala dan tertekan dengan skop kerja yang dilakukan Erma. Kalau Umie tidak boleh buat sesuatu perkara, Umie tak selesa didesak. Cukuplah Umie sokong apa yang dilakukannya,” kata Umie.

Umie juga amat mengutamakan keluarga dan kini, kerjaya jatuh di tangga kedua. Memperlahankan kerjaya lakonan bukan bererti Umie sudah tidak lagi berminat berlakon, tetapi Umie lebih selektif memilih naskhah cerita dan pasukan kerja terbaik.

“Keluarga menjadi tunjang hidup Umie. Umie juga bersyukur dikurniakan suami yang yang sangat memahami dan bertanggung jawab. Umie bertuah memilikinya. Ketinggian budi dan kasih sayangnya cukup bermakna. Dia sendiri yang ingatkan Umie untuk sambut hari lahir ibu sekalipun kami anak kandung begitu sibuk dengan kerja.

“Bayangkan seminggu sekali dia akan membawa ibu Umie ke pasar Chow Kit seawal pagi untuk membeli bahan mentah segar untuk dimasak. Kami anak sendiri pun jarang melakukan begitu,” kata Umie atau nama sebenarnya, Umi Khalsum Rahmad Ali 

Marah Erma bersebab

ERMA melihat laluan dan kembara seni Umie persis perjalanan seninya sendiri. Erma tanpa berselindung mengakui dia dan Umie sama-sama bermula dengan fasa kosong dalam lakonan hingga menjadi lebih baik.

Kata isteri kepada pengarah dan jurukamera terkenal, Badaruddin Haji Azmi atau Bade ini, Umie berjaya membuktikan dia boleh berlakon. Kata Erma, dia boleh berbangga melihat prestasi lakonan adiknya yang sering memberi ekspresi, emosi dan jiwa dalam lakonannya.

“Umie memang boleh berlakon seiring dengan pengalaman yang diperoleh. Jelas sekali dia tak boleh buat kerja dalam skop lain seperti menerbit mahupun mengarah. Dulu ketika menerbitkan filem Diva Popular pun dia sebenarnya main-main. 

“Saya sendiri sudah mempersiapkan diri untuk tidak selama-lamanya menjadi pelakon. Saya sendiri percaya hayat lakonan itu akan habis apabila tiba waktunya. Tak selamanya saya akan jadi heroin dan takkan watak emak akan dipegang hingga dimamah usia.

“Lalu langkah seterusnya, saya mencuba bidang pengarahan dan penerbitan pula. Sedari awal selepas saya nekad meninggalkan kuliah untuk menyertai bidang seni, saya sudah berjanji kepada diri sendiri untuk menjadi ‘seseorang’. Alhamdulillah sedikit sebanyak apa yang saya impikan mula tercapai,” kata Aktres Terbaik FFM sebanyak dua kali menerusi filem Hati Bukan Kristal dan Femina ini.

Pengarah drama Airmata Nursalina ini melihat landskap seni sebagai ruang mempelajari erti hidup. Erma tidak mahu andai suatu hari nanti karya dan dirinya hanya dikenang pada nama.

“Selagi boleh berkarya, saya akan terus berjuang dan takkan berhenti. Saya mahu menghasilkan karya untuk agama, bangsa dan negara. Cuma hingga saat ini, masih terbit ralat di hati saya kerana bidang seni masih dipandang kecil di mata kerajaan.

“Sedangkan entiti hiburan boleh dijadikan sebagai saluran untuk menjana ekonomi negara. Bidang seni sebenarnya masih terpinggir dan hanya dianggap sebagai hiburan semata-mata. Saya berpendapat, fungsi kementerian berkaitan hanya pada paksi meneruskan kelangsungan jalur seni dan tidak lebih daripada itu,” katanya.

Menyingkap sisi peribadi, berbeza dengan Umie yang lebih mengutamakan keluarga, Erma tanpa berselindung mengakui dia gagal menjalankan tanggung jawab yang baik kepada lima anak kesayangannya Shamiel Equan, Ahmad Arri, Ahmad Aifin, Citra dan Nurain.

“Kalau ada komitmen penggambaran, memang saya akan automatik gagal memegang peranan sebagai ibu. Kalau tak ada kerja mengarah atau menerbit, masa saya banyak dihabiskan di rumah. Suami (Bade) pun kalau sibuk, lebih kurang saya sajalah.

“Lelaki yang berkahwin dengan saya akan kecewa. Sebagai isteri dan ibu, saya memang serba kekurangan. Kebahagiaan lebih berat sebelah dan lebih cenderung untuk melakukan kerja seni. Bekerja atas paksi seni terus menjadi keghairahan saya,” katanya yang sudah lebih 20 tahun membina mahligai bersama Bade.

Ditanya mengenai layanan terhadap Umie di set penggambaran, Erma mengakui dia cukup bertegas.

“Saya memang tidak pernah marah pelakon selain Umie. Mereka yang selalu kena marah itu krew saya. Di set penggambaran memang Umie akan kena teruk berdepan dengan keinginan saya. Di mata saya, dia kena sempurna dan untuk itu, dia perlu berkompromi.

“Umie pula jenis yang tak suka dimaki habis-habisan. Saya pernah menghentikan penggambaran ketika mengarahkan filem Embun kerana Umie main-main dan tidak fokus. Teruk juga dia kena marah. Tapi itulah perangai saya dengan darah daging sendiri di lokasi penggambaran,” katanya.